Kemaafan itu..



Tidak mudah memberi maaf setelah disakiti lebih-lebih lagi jika orang itu sendiri telah berjanji bahawa dia tidak akan pernah sesekali menyakitimu namun terimalah hakikat bahawa setiap manusia itu pasti melakukan kesilapan dalam hidup. Tiada manusia yang tidak punya masa silam, mungkin ada yang manis dan ada juga yang pahit. Namun, tidak adil rasanya kita menilai seseorang dengan melihat pasa masa silamnya. Mungkin juga segala kesilapan yang dilakukan pada masa lalu itu bukan atas kehendaknya sendiri. Tetapi walau apapun biarlah kita melihat semua itu sebagai satu faktor penguat untuk diri kita agar walau seberapa kali sekalipun kita disakiti oleh orang lain, kita masih punya kekuatan untuk memaafkan mereka. Tiada gunanya kesakitan itu dipendam kerana akhirnya diri kita sendiri juga akan merasa sakitnya. 

Maafkanlah, mungkin itu jalan yang terbaik untuk membebaskan diri kita dari belenggu bebanan. Mungkin ada yang mempersoalkan bahawa senang sahaja mulut berbicara, memberi kata-kata nasihat  namun yang merasa dan menanggungnya bukan mereka tetapi 'aku'. Ya..memang benar mereka yang berkata-kata itu tidak akan merasa kesakitan yang menghimpit jiwamu namun berapa lama hati itu boleh bertahan menanggung penderitaan yang tidak berkesudahan. Maka.....berilah kemaafan dengan seikhlas-ikhlasnya. Kerana dengan cara itu sahaja segala perasaan sakit yang bersembunyi di jiwa boleh dilupakan. Mungkin perlu masa maka ambilkan seberapa lama masa yang kamu mahukan tapi pastikan di penghujungnya ada kesudahan yang bahagia untuk dirimu kerana sudah mampu memaafkan ....
Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi s.a.w., Rasulullah bersabda: 

Musa bin Imran bertanya: "Hai Tuhanku, siapakah hambaMu yang paling mulia di sisiMu? FirmanNya: "Siapa yang mengutamakan kemaafan sedangkan dia mampu untuk membalas kejahatan orang lain."

Kemaafan itu manis jika kita benar-benar redha, sabar dan ikhlas memberikan kemaafan di saat hati dihiris dengan kesedihan. Kita mungkin sahaja boleh membalas kejahatan seseorang itu kepada kita dengan cara menyakitinya semula namun apa yang akan kita perolehi di pengakhirnya? Rasa puas, rasa tenang, bahagia? Tidak sama sekali. Rasa itu hanyalah sementara kerana selagi mana hati kita masih tidak mampu memberikan kemafaan selagi itu kita tidak akan pernah merasa tenang. 

Kemaafan itu...

Menenangkan hati-hati gelisah,
Melapangkan jiwa-jiwa yang menderita,
Merungkaikan segala kekusutan jiwa,

Maka, berilah kemaafan kepada mereka-mereka yang pernah hadir dalam hidupmu dan menyakitimu. Sesungguhnya dalam kehidupan ini kita mungkin telah bertemu dengan pelbagai jenis ragam manusia yang menggembirakan hidup kita tetapi mungkin juga menyakitkan. Walau apapun, berterima kasihlah kepada mereka-mereka yang pernah hadir dalam hidup kita, kerana mereka itulah yang telah mengajar kita kehidupan yang sebenar. Dari kegembiraan yang diberikan oleh mereka itu, kita belajar untuk menghargai kehidupan dan dari kesakitan itu juga kita belajar untuk memaafkan.

Maka, jika ada seseorang yang hadir dalam hidupmu. Bersedialah untuk memberikan kemaafaan pada bila-bila masa sahaja.

Allah berkata, ".. dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah An-Nur:22)




credit picture: http://guessforparadise.wordpress.com/

You Might Also Like

0 Komen